Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Peniaga jualan langsung tanpa lesen didenda RM5,000
Published on: Wednesday, February 26, 2020
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Peniaga jualan langsung  tanpa lesen didenda RM5,000
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berumur 56 tahun pada Selasa didenda RM5,000 atau penjara tujuh bulan kerana mengendalikan satu perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah, dua tahun lepas.

Ahmad Jafar @ Jaafar mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles kepada perlakuan kesalahan itu pada pukul 3.35 petang 5 September 2018 di premis Anggun Aflyha Resources Sdn Bhd di Lorong Plaza Permai 5, Alamesra di sini.

Tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung Dan Skim Anti-Piramid 1993 boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa Pazilan Pasi dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pada hari berkenaan, pasukan penguatkuasaan memeriksa premis itu kerana disyaki menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah.

Pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti jualan langsung dengan menjual produk kesihatan dan kecantikan tanpa lesen jualan langsung.

Pazilan berkata, berdasarkan siasatan, Ahmad menjalankan aktiviti jualan langsung secara ‘pintu ke pintu’ dengan menggunakan ejen untuk menjual barangan mereka dari tempat ke tempat dan bukannya tempat perniagaan tetap.

Ahmad sebagai pemilik perniagaan itu, kata Pazilan, gagal menunjukkan sebarang lesen sah untuk membolehkannya menjalankan perniagaan Jualan Langsung.

Ahmad yang tidak diwakili, meminta maaf kepada mahkamah dan berkata dia telah memohon lesen sebelum itu tetapi terdapat beberapa kriteria yang dia tidak dapat penuhi.

Dia menambah, dia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perniagaan seperti itu pada masa akan datang dan meminta hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga.

Pazilan meminta hukuman setimpal dan memberitahu mahkamah bahawa ia adalah kali pertama kes seperti itu dibawa dalam mahkamah Sabah.

Dalam kes lain, seorang pengarah syarikat berumur 40 tahun dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada dua tuduhan menipu.

Lovely membuat keputusan itu terhadap kes Mohd Khairul @ Sharul Jaafar, yang ditetapkan perbicaraannya pada Selasa.

Terdahulu, peguam Mohd Khairul, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip memohon kes itu dikenakan DNAA disebabkan ketidakhadiran saksi pendakwaan.

Khairul dituduh menipu dua lelaki masing-masing sebanyak RM7,400 dan RM205,305, dengan membuat mereka percaya bahawa dia dapat menguruskan kerja-kerja kontraktor tidak wujud.

Dia didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu pada 27 Januari 2015, dan antara 26 Februari 2016 dan 13 Jun  di dua bank berlainan di sini.

 





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here