HEADLINES :




Bekas penjaga gol Sabah meninggal dunia
Published on: Wednesday, April 01, 2020
By: GL Oh
Text Size:


JOHN ketika menerima sumbangan daripada James bagi pihak Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah sambil disaksikan bekas rakan sepasukan Ahmad Alidin (kiri) dan Azah Ezrein (kanan) di rumahnya, baru-baru ini.
Kota Kinabalu: Bekas penjaga gol Sabah, John Pias meninggal dunia pada usia 68 tahun di Hospital Queen Elizabeth di sini pada pagi Selasa.

Menurut anak keduanya, Syukri, bapanya sudah lama menghidap diabetes dan dimasukkan ke hospital Tuaran pada petang Isnin sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth di sini pada hari sama.

“Bapa saya menghidap diabetes sejak beberapa tahun lalu dan baru-baru ini dia disahkan menghidap kanser limfoma oleh doktor.

“Kami sebelum ini menghantarnya ke hospital daerah Tuaran pada petang semalam sebelum kakitangan perubatan di sana memutuskan untuk memindahkannya ke Kota Kinabalu pada lewat petang.

“Bagaimanapun dia meninggal dunia pagi ini kira-kira jam 10 pagi, dan hanya ibu saya dan seorang daripada abang saya berada di sana pada ketika itu,” katanya pada Selasa.

John yang berasal dari Kota Belud merupakan antara penjaga gol terbaik yang negeri ini lahirkan pada era enam puluhan dan lewat tujuh puluhan.

Dia sering diturunkan sebagai penjaga gol utama pasukan negeri bersama dengan Hj Mohd Hanafiah Han @ Han Suan Kuang, sebelum ketibaan mendiang Peter Rajah yang berpangkalan di Tawau pada ketika itu. 

Bekas rakan sepasukannya Datuk James Wong, yang merupakan Presiden Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah, terkejut dengan berita kematiannya pada Selasa.

“Berita itu sangat mengejutkan saya. Saya benar-benar sedih kerana kami baru dua kali melawatnya baru-baru ini bersama ahli persatuan yang lain. Sekali di rumahnya di Tuaran dan kemudian di hospital beberapa minggu lalu. Dia cerdas pada ketika itu dan kami sempat berbual.

“John adalah pemain yang hebat, kawan baik dan dia banyak menyumbang kepada pasukan negeri dan bagi pihak Persatuan Bekas-Bekas Pemain Sabah, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarganya,” katanya.

John yang pernah bekerja dengan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan mempunyai empat anak lelaki dan dua anak perempuan, dikebumikan di Papar pada petang Selasa.


ADVERTISEMENT


Other News
Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            





Berita Popular