Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


Peniaga sogok polis dijel dua hari, denda RM20,000
Published on: Wednesday, March 03, 2021
By: Cynthia D Baga
Text Size:

Peniaga sogok polis dijel dua hari, denda RM20,000
Gambar: malaysiakini.com
Kota Kinabalu: Seorang peniaga warga Pakistan dipenjara sejumlah dua hari dan didenda RM20,000 kerana memberi rasuah kepada dua anggota polis.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu kepada Mujahid Ali Aman Ullah, 42, yang mengaku bersalah kepada dua tuduhan terhadapnya.

Bagi tuduhan pertama, Mujahid dipenjara sehari dan didenda RM10,000 atau penjara empat bulan kerana memberi sogokan RM500 kepada ASP Fauzi Abdul Kadir sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang disyaki memiliki rokok seludup.

Jenayah itu berlaku pada pukul 10.30 pagi 22 April 2020 di Shahid Enterprise, di sini.

Bagi tuduhan kedua, Mujahid dipenjara sehari dan didenda RM10,000 atau penjara empat bulan kerana memberi sogokan RM500 kepada Konstabel Lister Liew untuk tujuan sama pada pukul 12.30 tengah hari 23 Mac 2020 di tempat sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah diterima atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintah Mujahid menjalani hukuman penjaranya serentak.

Semasa rayuan, peguam Erveana Ansari yang mewakili Mujahid, meminta hukuman ringan dengan mengatakan tertuduh perlu menanggung isterinya yang juga orang tempatan dan anak-anak.

Erveana berkata Mujahid tidak mempunyai rekod sabitan dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM semasa siasatan.

Menurut Erveana, Mujahid ingin kembali ke Pakistan untuk melawat bapanya yang kini sedang sakit.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab rasuah merupakan satu kesalahan yang amat berat.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Sharif Ud Din, 40, juga warga Pakistan, akan dibicara pada 3-4 Jun tahun ini.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here