Kota Kinabalu: Isu kebakaran perkampungan atas air di Sabah perlu dilihat secara holistik oleh semua pihak bagi mengelak tragedi berkenaan terus berlarutan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata ia merangkumi dasar pemilikan tanah atau hak persempadanan, kebenaran dan kawalan pembangunan, kewujudan kemudahan asas seperti elektrik dan air, termasuk keperluan keselamatan kebakaran.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menyusun semula perkampungan atas air untuk menjadikannya lebih teratur, indah, dilengkapi kemudahan asas dan selamat untuk penduduk.
“Pelbagai aspek perlu diambil kira dan melibatkan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya selepas mengetuai rombongan Umno Sabah untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Tanjung Aru, petang Sabtu lepas.
Ketua Umno Sabah itu juga berkata, penyusunan semula penting bukan sahaja untuk menjadikan kampung itu teratur malah akan mengubah tarafnya daripada setinggan kepada perkampungan sah.
“Kita perlu susun semula perkampungan khususnya perkampungan atas air agar dilengkapi dengan kemudahan asas khususnya pili bomba, sebagai persediaan menghadapi musibah seperti kebakaran.
“Dengan itu, usaha membantu lebih mudah digerakkan bagi mengelak api merebak cepat,” katanya. Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Sabah merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Aru, Mohd Reduan Datuk Aklee.
Pada 25 Mei lepas, 33 rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.40 malam. Mujur tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, Bung juga meminta mereka yang terlibat dalam kebakaran tersebut agar bersabar dan tidak terburu-buru untuk mendirikan kediaman baharu walaupun atas lot mereka sendiri.
“Kita bersimpati dan memahami musibah mereka yang kehilangan tempat tinggal.
“Bagaimanapun, saya berharap mereka bersabar sementara kerajaan khususnya DBKK dan agensi lain dapat merangka serta menyusun semula kedudukan rumah di kawasan ini agar lebih teratur,” kata Bung.