Kota Kinabalu: Pasar Malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di Foh Sang di sini akan dianjurkan semula pada 30 Januari ini, dua hari menjelang perayaan itu.
Pemimpin Kemajuan Masyarakat Luyang, Gee Tien Siong berkata semua penjaja yang berminat boleh memohon lot masing-masing daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bermula 6 Januari.
Tahun lepas, DBKK tidak membenarkan pasar malam itu disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ketika itu.
Gee, yang juga naib presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata keputusan DBKK untuk membenarkan pasar malam menjelang TBC itu akan menghidupkan suasana perayaan dalam kalangan orang ramai.
Beliau juga berharap semua pengunjung dan penjaja akan mematuhi Prosedur Operasi Standard termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera, memeriksa suhu badan, menjaga jarak fizikal dan paling penting, memakai pelitup muka sepanjang masa.
“Keputusan membenarkan pasar malam itu dianjurkan tidak bermakna kita telah berjaya menewaskan Covid-19,” katanya.