Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 42 tahun didakwa memiliki seekor tenggiling hidup iaitu binatang dilindungi, tanpa permit.
Victor Lembertius mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, terhadap pertuduhan itu, pada Khamis.
Dia dituduh memiliki tenggiling Sunda (Manis Javanica) tanpa kebenaran sah yang diperolehi menerusi Penguatkuasaan Undang-Undang Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Pertuduhan menyatakan tenggiling adalah haiwan dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di bawah Jadual 1, Bahagian 1, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pukul 4.30 petang pada 16 November, 2020 di KM35.5 Jalan Kimanis Keningau, Papar.
Kesalahan di bawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dam boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4) Enakmen sama itu membawa hukuman denda antara RM50,000 dan RM250,000 atau penjara antara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 3 Februari tahun ini untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membebaskan Victor dengan ikat jamin sebanyak RM2,500 beserta seorang penjamin tempatan.
Pegawai Pendakwa Silvester Saimin tampil untuk pendakwaan manakala Victor tidak diwakili.