Kota Kinabalu: Seorang lelaki dan seorang wanita dipenjara kerana mengambil syabu secara berulang.
Chung Ket Luen dipenjara lima tahun empat bulan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, selepas dia mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya.
Mahkamah juga mengenakan satu sebatan rotan kepada Chung.
Chung didapati mengambil dadah itu selepas kencingnya diuji positif dadah di balai polis di sini pada 18 Ogos 2021.
Dia juga mempunyai beberapa rekod sabitan kesalahan mengambil dadah.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dibaca dengan Seksyen 39C (1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintah supaya Chung menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapnya dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas itu.
Sementara itu, Kasdatul Karim dipenjara lima tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim.
Kasdatul didapati mengambil dadah selepas kencingnya diuji positif dadah pada 11 September 2021 di sebuah balai polis di sini.
Dia mempunyai beberapa rekod sabitan kesalahan mengambil dadah.
Kasdatul, sebagai seorang wanita, terlepas daripada hukuman sebatan mengikut Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah.
Selepas menjalani hukuman penjara itu, mahkamah memerintah supaya Kasdatul diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Dalam kes lain, seorang pendatang tanpa izin dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen.
Sabri Abdul Gapur mengaku memasuki negeri ini secara haram dan dia ditangkap pada 7 November 2021 di Manggatal.
Mahkamah memerintah supaya Sabri dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjaranya, untuk pengusiran.