TAWAU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin meminta kerajaan persekutuan supaya membangunkan jalan diantara Kalabakan-Serudung sejauh 39km sebagai persediaan menghubungkan Sabah dengan Kalimantan yang akan dijadikan ibu negara Indonesia yang baharu.
Bung (gambar), yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan, ianya perlu disegerakan bagi membuka peluang kepada pembangunan lain yang dijangkakan akan menyusul apabila wujud laluan Kalabakan-Serudung nanti.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur tersebut diyakini akan memberi manfaat kepada rakyat di Tawau dan pada masa sama turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat termasuklah dari aspek pelancongan.
Justeru beliau akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan segera memandangkan ia adalah salah satu "game changer" yang boleh mengubah landskap Sabah dari pelbagai sudut ke arah yang lebih baik.
"Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri kerana saya yakin pelaksanaan ini mampu membangunkan Sabah yang secara tidak langsung dapat membawa Sabah keluar dari garis kemiskinan dan kemunduran," katanya dalam kenyataan media.