SIPITANG: Seorang nelayan berumur 43 tahun hilang selepas turun memukat di Kg Pelakat, di sini, malam Sabtu lepas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Janil Jaya, berkata bomba telah menerima panggilan mengenai kehilangan Mohd Iqbal Daud pada 7.18 pagi, pada Ahad.
“Sejurus menerima panggilan itu, sepasukan anggota bomba dari Unit Skuba dari Kuala Penyu dan Beaufort digegaskan ke tempat kejadian untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.
Perahu yang digunakan oleh mangsa ditemui nelayan-nelayan lain dengan enjinnya masih hidup.
Operasi SAR kini giat dijalankan membabitkan agensi pasukan keselamatan dengan menggunakan bot-bot penyelamat serta bot nelayan.
“Operasi mengesan lelaki itu membabitkan Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi pasukan keselamatan lain,” tambahnya.