Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah merampas dadah dipercayai jenis Methamphetamine bernilai RM1.99 juta berat 55.4 kilogram (kg) dalam dua serbuan di sini pada 4 dan 9 Jan lepas, dan menahan seorang penggangur lelaki tempatan berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata pihaknya percaya kegiatan itu didalangi satu sindiket yang menghantar dadah tersebut dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu di sini menggunakan perkhidmatan kurier yang diisytihar sebagai peralatan akuarium.
Beliau berkata hasil perkongsian maklumat dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, serbuan dilakukan pada 4.15 petang 4 Januari lepas di tempat letak kereta sebuah syarikat penghantaran barangan di Inanam dan menahan suspek kes tersebut bersama sebuah kereta.
“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan berjaya merampas tiga kotak dadah dipercayai jenis Methamphetamine dengan berat 33.62kg bernilai RM1.21 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini pada Rabu.
Jauteh berkata hasil siasatan lanjut rampasan pertama, PDRM merampas dua kotak berisi dadah dipercayai jenis Methamphetamine berat 21.78kg bernilai RM784,000 dalam serbuan kedua di sebuah kawasan komersil di Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada pukul 9.50 pagi, 9 Januari lepas.
Beliau berkata PDRM juga menyita wang tunai berjumlah RM102,097.87 berkaitan kes itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang ditahan mempunyai 17 kes lampau dalam pelbagai kesalahan antaranya dadah dan curi, suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran (dadah)... siasatan masih dilakukan tentang kawasan pengedaran dadah tersebut, serta tempoh sindiket beroperasi,” katanya.