LAHAD DATU: Seorang warga emas cedera diserang seekor buaya ketika mencari kerang berhampiran sungai Silabukan, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah, ACP Rohan Shah Ahmad, dalam kenyataan di sini berkata insiden itu berlaku sekitar jam 4 petang ketika lelaki berumur 70 tahun itu sedang berjalan di tebing sungai bersama isterinya dan lima yang lain untuk mencari kerang.
Rohan berkata, seekor buaya tiba-tiba muncul di tebing sungai dan menggigit betis mangsa.
“Tindakan pantas rakan-rakannya memukul kepala dan bahagian mata buaya itu berjaya menyelamatkan mangsa.
“Mangsa yang mengalami kecederaan pada betis, tangan kanan dan perut dibawa ke hospital Lahad Datu untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.