Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 33 tahun dijatuhi hukuman penjara 36 bulan kerana melakukan khianat dengan memusnahkan sebuah rumah dengan api.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Shahrizal Jadi yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan oleh pendakwaan.
Mohd Sharizal dituduh melakukan khianat itu pukul 11.30 malam pada 11 September, 2020 ke atas sebuah rumah di Kg Sungai Damit di Tuaran.
Pertuduhan alternatif itu termaktub di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Sharizal diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditahan di penjara Pusat Kepayan, di sini.
Sementara itu, Mohd Shahrizal dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan utama di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Mahkanah diberitahu bahawa apabila pengadu kes kembali ke rumahnya di Tuaran, dia mendapati terdapat kesan warna hitam seperti tanda terbakar pada papan kayu rumahnya.
Pengadu kemudian bertanyakan jirannya yang ternampak Mohd Shahrizal berdiri di hadapan rumah itu, kemudian membawa satu gelen yang mengandungi petrol dan menuangkannya ke arah tangga kayu rumah dan juga membakarnya.
Susulan itu, laporan polis dibuat oleh pengadu Mohd Shahrizal pada 15 September, 2020.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki didakwa mengambil dadah untuk kali ketujuh.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Ranwill Mojilin sementara menunggu laporan kimia mengenai dadah.
Mahkamah menetapkan 14 Februari untuk sebutan dan tiada ikat jamin ditawarkan kepada Ranwill yang didakwa mempunyai enam sabitan lampau kerana mengambil dadah.