Kota Kinabalu: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan (gambar) mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan peralatan sekolah ke Kampung Saradan Rampayan Manggatal di sini, Ahad.
Katanya, langkah ini merupakan inisiatif terbaik dalam usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan dan bersama-sama membantu menjaga kebajikan masyarakat secara keseluruhan.
Beliau mengambil contoh inisiatif diambil oleh Kelab Kebajikan Raisul Sabah menyumbang bantuan peralatan sekolah akibat terkesan Covid-19 kepada keluarga kurang berkemampuan.
“Inisiatif kelab itu memperlihatkan semangat dan perpaduan masyarakat di kawasan itu yang sentiasa prihatin dengan nasib golongan yang kurang bernasib baik.
“Usaha ini sudah tentu menjadi contoh badan NGO serta syarikat swasta yang lain agar turut sama membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama di kawasan ini,” katanya.
Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata, NGO bersama syarikat swasta lain perlu tampil dengan usaha serta inisiatif sendiri dan tidak perlu menunggu bantuan daripada pihak kerajaan.
“NGO diseru agar lebih peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka membantu kerajaan menjaga dalam kebajikan rakyat yang memerlukan terutama mereka yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.