Kota Kinabalu: Seorang penganggur berumur 33 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan didenda RM2,000 atau dua bulan penjara pada Selasa kerana memiliki harta benda curi.
Mohd Fandi Nasir mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun kerana mencuri 13 batang rangka tingkap aluminium dan dua pemutar skru pukul 3.40 petang, pada 11 Januari di Jalan Bukit Bendera Lower.
Fandi melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Fandi menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang bekerja sendiri didakwa semula atas pertuduhan menggelapkan harta benda secara tidak jujur.
Voo Li Kiam meminta dibicarakan atas pertuduhan menggelapkan RM41,515, yang merupakan wang kutipan milik KS Filter Sdn Bhd, untuk kegunaannya sendiri antara 8 Disember 2018 dan 26 Januari 2019 di premis syarikat itu di Inanam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan mencadangkan ikat jamin sejumlah RM3,000.
Peguam Ram Singh dan Kimberly Ye, yang mewakili Voo, memohon ikat jamin lebih rendah dengan menghujahkan bahawa sebelum ini dia dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan itu, Voo tidak pernah melarikan diri dan ikat jamin sebelum ini adalah RM2,300.
Mahkamah menetapkan 16 Februari untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membebaskan Voo dengan ikat RM1,000 dengan seorang penjamin.
Inspektor Albert Basiri dan Kelvan Elson Maik mengendalikan pendakwaan.