Kota Kinabalu: Jumlah kes harian di Sabah pada Selasa menyaksikan pertambahan lebih dua kali ganda dari jumlah Isnin lepas, iaitu 314 kes berbanding hanya 118 kes hari sebelumnya, kata Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut Masidi, ini merupakan pertambahan 196 kes dari jumlah Isnin lepas.
“Berdasarkan laporan dan statistik harian yang disediakan oleh JKNS, punca kenaikan mendadak kes-kes baharu hari ini ialah kerana bilangan saringan positif yang agak tinggi dalam kalangan kontak rapat dan kes-kes baharu dari kluster-kluster aktif.
“Sebanyak 64 kes baharu hari ini datang daripada kluster-kluster dan 143 pula adalah dari kalangan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Empat daerah menyumbang kepada angka jangkitan baharu yang agak tinggi iaitu Sandakan dengan 68 kes (+56), Kota Kinabalu 61 kes (+44), Beaufort 39 kes (+31) dan Tuaran 34 kes (+19).
“Secara keseluruhan, terdapat sembilan daerah mencatat kes baharu dua angka, 14 daerah dengan catatan satu angka dan empat daerah tidak merekodkan apa-apa kes baharu,” katanya.
Sementara itu, satu lagi kluster ‘institusi pendidikan’ yang dikenali sebagai Kluster Jalan Sri Balung diisytiharkan di Tawau pada Selasa.
Menurut Masidi, kes indeks adalah seorang pelajar asrama lelaki Tingkatan 4 di SMK Balung, yang mula bergejala pada 19 Januari 2022, kemudian menjalani saringan di klinik kesihatan sebelum disahkan positif melalui Covid-19 RTK Ag pada 21 Januari 2022.
“Saringan ke atas kontak rapat mendapati 17 orang lagi pelajar didapati positif menjadikan jumlah yang terlibat seramai 18 orang setakat ini. Kesemua pelajar yang dijangkiti adalah dalam Kategori 1 dan 2 dan telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai,” tambahnya.
Dalam kenyataan itu juga, Masidi berkata tiga kes kematian dilaporkan pada Selasa iaitu masing-masing satu kes di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Beaufort.
Dalam pada itu, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 177 orang dan 690 pesakit sedang menerima rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 20 orang dan enam orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.