Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus stabil jika semua parti gabungan dan wakil rakyatnya terus bersatu dalam memenuhi aspirasi rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, kerajaan sekarang dibentuk daripada sembilan parti gabungan dan dianggap rapuh.
“Bagaimanapun, jika ada kesepekatan padu di kalangan anggota serta wakil rakyatnya, tidak ada sebab gabungan ini tidak mampu bertahan.
“Rakyat telah meletakkan kepercayaan serta aspirasi yang tinggi kepada kerajaan hari ini.
“Justeru kita perlu menghargai kepercayaan tersebut dengan kesungguhan bekerja untuk memajukan Sabah, melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajkan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Retreat Backbenchers di Kudat Golf and Marina Resort pada malam Jumaat lalu.
Hadir sama Pengerusi Kelab Backbenchers Kerajaan GRS Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak, penceramah jemputan Datuk Haji Md Alwi Che Ahmad dan Adun-Adun GRS.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, bagi mewujudkan kerajaan yang stabil, ia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi krisis dihadapi negara.
“Kebersamaan serta kerja sama ini amat penting untuk menstabilkan negara di saat krisis politik, kesihatan serta situasi ekonomi akibat penularan pandemik Covid-19.
“Rakyat ketika ini begitu matang berfikir dan menilai tindakan kerajaan dan wakil rakyat.
“Mereka tidak lagi terbuai dengan pengumuman berapa banyak peruntukan untuk melaksanakan projek pembangunan tapi apa yang mereka harapkan adalah tindakan segera untuk pelaksanaannya,” kata beliau.
Bung mengakui Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.
“Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat saya memang lantang membawa isu-isu pembangunan di Sabah, namun saya terkilan setiap isu yang berhubung kait dengan kepentingan rakyat di Sabah amat jarang mendapat sokongan daripada wakil rakyat Sabah yang tampil dengan membuat kenyataan menyokong.
“Ia seolah-olah memberikan gambaran kita tidak bersatu dalam memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di negeri ini,” jelas Bung.
Sementara itu, Adun Lamag ini juga mahu setiap Adun GRS supaya mengambil bahagian dalam sesi perbahasan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Mereka (Adun) bukan sahaja berbahas membawa isu-isu di kawasan masing-masing tetapi perlu membawa isu-isu yang lebih relevan dengan kepentingan rakyat dan negeri. Kita perlu menjadi (Adun) yang berilmu pengetahuan berasaskan fakta bagi menangkis provokasi dan propaganda yang dibawa oleh parti lawan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Program Retreat Backbenchers itu akan dapat memberikan sedikit panduan kepada Adun-Adun tentang ilmu perbahasan di samping menjadi platform untuk bertukar pandangan dan idea, bukan sahaja untuk pembangunan di kawasan masing-masing tetapi Sabah secara keseluruhannya.