TAWAU: Seorang lelaki tempatan, 46, ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk pelbagai jenis barangan kosmetik bernilai lebih RM13,000 menerusi perairan laut Aji Kuning, Pulau Sebatik sekitar jam 10.52 pagi, pada Selasa.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, DSP Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya sedang melaksanakan tugas Op Gelora apabila mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan sedang menuju ke laut Ice Box.
Menurutnya, pihaknya berjaya memintas dan menahan bot tersebut untuk pemeriksaan dan kemudiannya menemui pelbagai jenis kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam bot jongkong itu.
“Juragan bot (suspek) dan kosmetik tersebut yang disyaki cuba diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan, ditahan dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ridzauddin berkata, kes itu diserahkan kepada Jabatan Farmasi Tawau dan disiasat mengikut Seksyen 18A (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mengulas lanjut, beliau berkata PPM Tawau akan terus komited dalam menjalankan operasi dalam mengekang jenayah, terutamanya jenayah rentas sempadan.
Justeru, beliau meminta kerjasama masyarakat persisir pantai dan maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di 013-9391197.
Maklumat juga, katanya, boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di 089-983628.