Kota Kinabalu: Sabah merekodkan empat lagi kluster baharu pada Khamis dengan masing-masing dua di sini dan di Kunak, sekaligus menyumbang kepada 2,969 kes yang direkodkan di negeri ini pada Selasa.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dua kluster di Kota Kinabalu ialah Kluster Sutera 2 dan Kluster Jalan Gudon.
“Kuster Sutera 2 merupakan jangkitan yang menular di tempat kerja iaitu di salah sebuah tapak pembinaan di Kota Kinabalu.
“Kes indeks merupakan seorang lelaki bukan warganegara, 33, merupakan kakitangan pengurusan. Kes indeks mula bergejala sejak 3 Februari dan disahkan positif Covid-19 di klinik swasta pada 4 Februari.
“Saringan terhadap 278 kontak rapat menemui 57 lagi kes membabitkan pekerja di tapak berkenaan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58 kes,” katanya.
Kluster Jalan Gudon adalah kluster jenis institusi pendidikan yang melibatkan SMK Bandaraya Kota Kinabalu.
“Kes indeks merupakan seorang pelajar lelaki, 17, yang bergejala sejak 4 Februari, mendapati dirinya positif Covid-19 melalui saringan kendiri sebelum mengesahkannya menerusi ujian RT PCR pada 7 Februari.
“Saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 143 individu berjaya mengesan 21 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes,” katanya.
Dua kluster di Kunak ialah Kluster Jalan Getah dan Kluster Madai 2 yang masing-masing merekodkan 22 kes dan 40 kes kumulatif positif Covid-19, setakat ini.
Kedua-dua kluster itu adalah kluster pendidikan.
Sementara itu, tiada kes kematian dilaporkan pada Khamis dan bilangan pesakit sembuh ialah 351 orang.
Jumlah penduduk Sabah yang menerima dos lengkap setakat ini ialah adalah seramai 2,411,415 orang.