Kota Kinabalu: Polis sedang menjejaki seorang lelaki (gambar) yang dirakam kamera litar tertutup memecah masuk sebuah kediaman di Luyang, di sini, Rabu lepas.
Penemuan awal mendapati penyewa berada di dalam tandas ketika kejadian 8 pagi itu berlaku, menurut Ketua Polis Bandaraya ACP Mohd Zaidi Abdullah.
Selepas mendengar ketukan di pintu, penyewa keluar dari tandas untuk memeriksa dan melihat orang tidak dikenali di dalam rumahnya.
Penyewa bertanya mengapa lelaki itu berada di kediaman tersebut dan lelaki itu melarikan diri.
Rakaman dari kamera litar tertutup menunjukkan lelaki itu memasuki perkarangan rumah dan meninjau sebelum cuba membuka pintu dan kemudian mengintai melalui cermin tingkap.
Lelaki itu kemudian masuk selepas menendang pintu dan menutupnya.
Setelah diteliti, penyewa mendapati jam tangan Fossil dan wang tunai RM70 hilang.
Mohd Zaidi menggesa sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.