KENINGAU: Lima sekeluarga di Kampung Dalit di sini dipindahkan ke rumah saudara terdekat berikutan rumah mereka dinaiki air dalam banjir kilat, awal pagi Ahad.
Ketua Zon Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Yuszaimi Hairrul Azwan Juatan berkata pihaknya menerima panggilan pukul 6.30 pagi dan tujuh anggota diketuai Pegawai Operasi Leong Hoi Min bergegas ke lokasi kira-kira 24 kilometer bersama jentera dan bot.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba melakukan operasi memindahkan lima orang daripada sebuah keluarga ke rumah saudara terdekat.
“Sungai Dalit di kampung itu melimpah akibat hujan di bahagian hulu (bukit) dan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu,” katanya.
Yuszaimi berkata paras air di kawasan terjejas banjir kini dilaporkan semakin surut dan operasi ditamatkan pada 8.25 pagi.
Sementara itu, di Tambunan, empat orang termasuk dua wanita cedera ringan apabila kenderaan Perodua Myvi yang mereka naiki terbabas di bahu jalan di Kampung Naudu malam Sabtu.
Yuszaimi berkata Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan menerima panggilan pada 11.53 malam dan enam anggota diketuai Pegawai Operasi, Severinus Sixtus bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejauh kira-kira 7 kilometer.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, empat mangsa yang mengalami cedera ringan telah dikeluarkan dari kenderaan yang terbabas dan dihantar orang awam ke hospital sebelum bomba tiba.
“Anggota bomba melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 12.48 tengah malam,” katanya.