Kota Kinabalu: Upko tidak mahu pengeluaran kad pengenalan baharu kepada pendatang membawa kepada masalah atau isu baharu di Sabah, dan menyebabkan isu semasa berlarutan sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat Sabah dalam jangka masa panjang.
Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata parti itu telah mengetengahkan empat kategori utama masalah berkaitan pendatang tanpa izin di Sabah.
Beliau menyarankan setiap pemimpin yang bertanggungjawab dan ikhlas dari Sabah memahami perbezaan empat kategori ini sebelum membuat pandangan atau mempolitikkan perkara itu.
“Empat kategori masalah pendatang asing di Sabah ialah kemasukan pendatang tanpa izin secara berterusan, kehadiran pelarian yang sentiasa ada di negeri ini, status Orang Tanpa Kewarganegaraan di negeri ini dan mereka yang memperoleh kad pengenalan melalui cara yang meragukan.
“Jika tiada pemimpin kita memahami cabaran berbeza dikemukakan dan penyelesaian yang diperlukan untuk menyelesaikan empat kategori masalah yang berbeza ini, maka mereka tidak ada patut memberikan pandangan mereka dengan mempolitikkan perkara ini dan mengelirukan lagi orang ramai.
“Jika Kerajaan Persekutuan ikhlas dalam menyelesaikan masalah berlarutan ini, mereka mesti memahami dan mencari penyelesaian bagi setiap masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tangau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Kerajaan Sabah untuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing di negeri itu.
Beliau berkata kenyataan Hamzah itu menimbulkan banyak persoalan kerana isu pengeluaran kad pengenalan sudah lama dipolitikkan, termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dua tahun lalu.
“Kita tidak mahu pengeluaran kad pengenalan baharu yang diumumkan menteri dalam negeri menjadi alat politik untuk memperkasakan Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
“Justeru, jelaskan kepada kami apa beza kad pengenalan ini berbanding Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini?
“Menarik juga untuk mendengar pandangan semua pemimpin negeri dalam Kerajaan Negeri sekarang yang lantang menentang cadangan PSS oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini,” katanya.
Ketika ini, Tangau berkata terdapat beberapa jenis kad yang telah dikeluarkan iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung kepada warga asing di Sabah.
Memandangkan, katanya, kira-kira dua tahun lalu, parti-parti di dalam kerajaan negeri sekarang dan Kerajaan Persekutuan sendiri yang telah membantah dan menjadikan usaha cadangan ketika itu untuk memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi mengenal pasti kedudukan warga asing di Sabah, sebagai isu pilihan raya dan politik.
“Kami mahu penjelasan daripada Hamzah tentang jenis kad yang hendak digunakan sebagai ‘kad pengenalan atau dokumen yang serupa’.
“Menteri Dalam Negeri mesti menjelaskan sama ada hasrat dan cara kerja kad pengenalan ini adalah sama seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi PSS ketika itu?
“Sekiranya cadangan dan saranan ini datang daripada agensi kerajaan sama yang pernah mencadangkan PSS sebelum ini, kemungkinan besar ia cadangan yang sama sekarang walaupun dengan nama yang berbeza.
“Jangan bermain dengan kata-kata seperti tujuannya bukan untuk memberikan dokumen kepada pendatang tanpa izin (PTI) atau untuk memberi mereka kerakyatan kerana PSS sebelum ini juga tidak pernah mempunyai tujuan seperti itu,” kata Tangau.
Beliau berkata Upko tidak mahu pengeluaran kad pengenalan baharu yang diumumkan menteri dalam negeri menjadi alat politik untuk memperkukuh Kerajaan Negeri Sabah hari ini.
“Upko mahu kerajaan mengambil perhatian serius terhadap empat kategori masalah pendatang asing di Sabah dan menyelesaikan setiap masalah ini secara menyeluruh bagi memulihkan martabat negara dan kedaulatan negeri Sabah. Kita perlu tegas mencari penyelesaian untuk manfaat generasi masa depan kita.
“Dengan pengumuman terbaru ini, ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan KDN untuk menjelaskan langkah mengeluarkan kad pengenalan baharu ini kepada warga asing.
“Penjelasan mendalam perlu diberikan bagi mengelakkan rakyat Sabah terkeliru dan ditipu oleh mana-mana pihak,” kata Tangau.