Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 9 Mac untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki berumur 33 tahun yang didakwa memiliki 32.14 gram syabu.
Hakim Elsie Primus menetapkan tarikh itu bagi Mohd Fauzi Roslim yang kesnya dikemukakan untuk sebutan melalui Zoom pada Isnin.
Mahkamah menetapkan tarikh itu untuk memantau status surat representasi oleh peguam.
Peguam Amli Nohin yang mewakili Mohd Fauzi, meminta penangguhan untuk dia menyediakan surat representasi kepada pihak pendakwaan kerana dia tidak dapat bertemu dengan anak guamnya secara bersemuka.
Amli berkata, memandangkan keadaan Covid-19 di penjara membimbangkan dan banduan dikuarantin buat masa ini.
Mohd Fauzi dituduh memiliki dadah itu pada pukul 4.35 petang 17 Disember 2020 di hadapan Borneo Auto Enterprise di Sulaman Sentral, Manggatal, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya itu membawa hukuman penjara antara lima tahun dan penjara seumur hidup, serta sekurang-kurangnya 10 sebatan rotan, jika sabit kesalahan.
Mohd Fauzi kini menjalani hukuman penjara untuk kesalahan lain.