Kota Kinabalu: Jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah terus meningkat dengan 4,374 kes pada Selasa, angka tertinggi yang pernah dicatatkan di negeri ini.Menurut jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, jumlah itu adalah pertambahan 339 kes berbanding angka yang dicatatkan Isnin lalu.
“Dengan mengambilkira peratusan jangkitan sporadik hampir 63 peratus dari jumlah keseluruhan, jumlah kes baharu dijangka akan terus naik dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kota Kinabalu kekal dengan angka tertinggi iaitu 752 kes (-158), diikuti oleh Sandakan 647 kes (+151), Tuaran 388 kes (kekal), Penampang 385 kes (+60), Tawau 256 kes (-72), Putatan 241 kes (+41), Papar 233 kes (-30), Lahad Datu 196 kes (+7), Ranau 158 kes (+29), Beaufort 158 kes (+24), Keningau 144 kes (+38), Kota Belud 123 kes (+17) dan Kota Marudu 116 kes (+32).
“13 daerah merekodkan kes tiga angka manakala 12 daerah mencatat kes dua angka dan dua daerah mencatat kes satu angka.
“Kebanyakan daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes berbanding semalam (Isnin),” katanya.
Sementara itu, menurut Masidi, dua kluster baharu diisytiharkan pada Selasa, iaitu Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 di Kota Kinabalu dan Kluster Jubi Tambulion di Kota Belud.
“Kluster Tembok Kota Kinabalu 2 adalah kluster pusat tahanan di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu dan melibatkan banduan dan kakitangan di Penjara Kepayan.
“Indeks kes merupakan seorang banduan lelaki, warganegara, berumur 27 tahun yang bakal dibebaskan.
“Saringan terhadap semua kontak rapat telah mendapati 103 orang lagi di kalangan banduan dan kakitangan penjara didapati positif, menjadikan jumlah keseluruhan 104 kes positif setakat hari ini.
“Semua pesakit telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” katanya sebelum menambah kontak rapat yang tidak bergejala juga diberikan perintah kuarantin.
Masidi berkata kluster institusi pendidikan di Kota Belud, Kluster Jubi Tambulion melibatkan pelajar di Asrama Jubilee SMK Tambulion.
Sementara itu, lapan kes kematian dilaporkan pada Selasa iaitu tiga kes di daerah Tuaran dan masing-masing satu kes di Tawau, Semporna, Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Marudu.