Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah mengesyorkan agar Kerajaan Negeri Sabah mengikuti langkah jirannya, Sarawak, yang menukar gelaran ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ yang jelas menunjukkan Sarawak sedang menuju ke arah autonomi yang lebih besar.
Mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana berjaya menukar gelaran ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan (gambar), berkata langkah itu turut meletakkan Sarawak sebagai bukan lagi sekadar ‘rakan kongsi setara’ dengan negeri lain di Malaysia.
“Ini jelas menunjukkan status Sarawak yang sedang menuju ke arah autonomi yang lebih besar.
“Bersatu Sabah menyarankan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengikuti tindakan sedemikian yang dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin utama kita seperti Allahyarham Tun Mustapha dan Allahyarham Tun Fuad Stephen semasa penubuhan Negara Malaysia.
“Permuafakatan dalam kalangan pemimpin Sabah harus diketengahkan dalam isu membabitkan hak rakyat Sabah.
“Permuafakatan yang kukuh sudah pasti dapat menghalang semua anasir asing yang cuba menggugat kestabilan politik negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Khairul berkata, kemunduran yang berlaku di Sabah akibat permainan politik yang keterlaluan sejak negeri itu mencapai kemerdekaan perlu dihentikan dan fokus utamanya adalah untuk membangunkan Sabah dan rakyatnya.
“Dengan meletakkan Sabah sebagai status yang berbeza daripada negeri-negeri lain, sudah pasti generasi baharu akan lebih memahami apa sebenarnya pembentukan Malaysia.
“Sabah dan Sarawak adalah tulang belakang pembentukan Malaysia dan pastinya pada masa hadapan mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia,” katanya.