SANDAKAN: Seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan perkhidmatan sewaan pengangkutan bas bagi program lawatan Benchmark 5S untuk kakitangan Institut Latihan Perindustiran (ILP) Sandakan yang bernilai RM11,200, lapan tahun lepas.
Chan Haw Fou, 35, didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen iaitu invois tuntutan bertarikh 26 November 2014 berkenaan perkhidmatan sewaan pengangkutan bas bagi program itu dan dengan nilai tersebut.
Dokumen berkenaan dikemukakan kepada Bahagian Kewangan, ILP Sandakan, Jabatan Tenaga Manusia (Kementerian Sumber Manusia) pada 13 Disember 2014 di Batu 5, Jalan Sibuga, Sandakan.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat pada Khamis di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan.
Abu Bakar menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes, membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan RM6,000 dideposit dengan seorang penjamin, sementara pasport antarabangsa Chan juga diarah diserahkan kepada pihak Mahkamah selewatnya pada Jumaat depan selain perlu melapor diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, memohon jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin tempatan, meminta agar tertuduh tidak mengganggu saksi, serta pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada pihak Mahkamah dan melapor diri kepada SPRM dua bulan sekali.
Sementara peguam Sylyester Kuan, yang mewakili tertuduh, meminta ikat jamin RM5,000 atau jika tidak dapat dikurangkan, RM4,000 didepositkan daripada RM10,000 itu, mengatakan anak guamnya telah memberi kerjasama yang baik semasa siasatan.