Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah membenarkan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Teo Chee Kong, dilepas tanpa dibebaskan dari semua 146 pertuduhan pengubahan wang dari aktiviti haram berjumlah RM32.9 juta tetapi selepas itu SPRM mengumumkan bahawa Teo akan dikenakan kompaun RM30 juta.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kesemua 146 pertuduhan terhadap Teo, 57.
“Teo telah pun mengemukakan representasi kepada Peguam Negara dan kami telah pun menerima representasi yang dikemukakan oleh beliau dan hari ini kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami tidak akan meneruskan kesemua 146 pertuduhan terhadap Teo.
“Kami memohon supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan hari ini,” kata Mahadi.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Faridz Gohim Abdullah memberitahu media selepas prosiding bahawa SPRM dan juga Peguam Negara telah memutuskan untuk mengenakan tindakan kompaun terhadap Teo sebanyak RM30 juta berdasarkan peruntukan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Faridz menegaskan berdasarkan pertimbangan beberapa surat representasi yang dihantar peguam Teo, SPRM dan juga Peguam Negara telah memutuskan untuk mengenakan tindakan kompaun terhadap Teo.
“Jumlah kompaun adalah satu jumlah besar RM30 juta dan juga tindakan kompaun ini dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 92 AMLA yang membenarkan SPRM menerima daripada orang yang disyaki secara munasabah melakukan kesalahan di bawah AMLA 2001.
Kompaun itu perlu dibayar dalam tempoh 14 hari mulai Jumaat dan jika Teo gagal membayar kompaun, dia akan berhadapan dengan kuasa undang-undang, kata Faridz.
“Kompaun ini juga merupakan satu bentuk tindakan punitif dan juga satu bentuk tindakan mendapatkan semula aset di bawah AMLA dan dengan pembayaran kompaun ini merupakan satu kejayaan besar dalam tindakan mendapatkan semula aset oleh pihak pendakwaan,” kata Faridz.
Jelasnya lagi, tindakan kompaun terhadap Teo tidak menghenti atau menjejaskan pertuduhan terhadap tertuduh lain yang masih dalam perbicaraan.
“Pihak pendakwaan masih meneruskan pertuduhan terhadap tiga orang lagi dalam kes ini dan tindakan yang diputuskan adalah salah satu strategi pihak pendakwaan dalam mengukuhkan lagi keterangan dalam kes ini nanti,” katanya.
“Mengenakan kompaun terhadap tertuduh bukanlah sesuatu yang baharu atau asing di negara ini. Ini kerana terdapat kes-kes sebelum ini yang mana tindakan serupa telah diambil,” tambah Faridz.
Terdahulu dalam prosiding itu, peguam yang mewakili Teo, Ram Singh, memohon jaminan Teo sebanyak RM500,000 dikembalikan dan syarat-syarat lain jaminan terhadapnya ditarik balik.
Kata Mahadi lagi, setakat Jumaat, tiada arahan terkini mengenai status tiga lagi tertuduh dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sebelum ini, dikekalkan.
Mahkamah memerintahkan Teo dilepas tanpa dibebaskan dari semua 146 pertuduhan dan memerintahkan wang jaminan RM500,000 dikembalikan kepada penjamin dan semua syarat jaminan lain ditarik balik. Pasport Teo juga diserahkan semula kepadanya.
Selepas prosiding itu, Teo berkata beliau berasa lega dan gembira dengan keputusan pihak pendakwaan untuk menggugurkan semua pertuduhan terhadapnya.
“Saya bersyukur kepada Tuhan dan pasukan Ram Singh serta penasihat terdahulu,” kata Teo.
Kes Teo adalah untuk sebutan pada Jumaat bersama dengan kes bekas pengarah Jabatan Air Sabah Awang Mohd Tahir Awang Mohd Talib, isterinya Fauziah Piut dan bekas timbalan pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng.
Peguam mewakili Awang Mohd Tahir dan Fauziah, Marcel Jude, memberitahu mahkamah bahawa setakat Jumaat mereka tiada apa-apa untuk dikemas kini untuk perbicaraan dan beliau akan berunding dengan anak guamnya sebelum tarikh perbicaraan.
Sementara itu, peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Lim memberitahu mahkamah melalui Zoom bahawa mereka telah menulis surat representasi pada 17 Julai 2019 serta surat susulan pada minggu lepas iaitu 11 Februari dan sedang menunggu jawapan keputusan daripada pendakwaan.
DPP Mahadi mengesahkan pihaknya telah pun menerima surat representasi tersebut dan ia masih dipertimbangkan.
Abu Bakar mengesahkan semula tarikh perbicaraan yang ditetapkan bagi Awang Mohd Tahir, Fauziah dan Lim pada 11-14 April, 25 – 27 April, 17-19 Mei dan 13 -16 Jun.
Teo, 57, mula-mula dihadapkan ke mahkamah pada 13 Disember 2017 di mana dia mengaku tidak bersalah kepada semua tuduhan, yang mana 78 tuduhan menyatakan Teo didakwa memiliki 70 geran tanah daripada aktiviti haram melalui 78 transaksi bernilai RM12,705,203.70 selepas pindah milik.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 21 Oktober 2005 dan 19 Ogos 2014 di lokasi berasingan di Pejabat Tanah di Beaufort, Kota Kinabalu, Penampang, Sipitang, Papar serta Jabatan Tanah dan Ukur di sini.
Tuduhan-tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu memperuntukkan denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Baki 68 tuduhan terhadap Teo menyatakan dia didakwa melakukan enam kesalahan memiliki tunai berjumlah RM7,930,810.48 (RM5,952,050 dan RM1,978,760.48 dalam matawang asing) daripada aktiviti haram serta 62 kesalahan menyimpan wang dalam akaun-akaun bank berjumlah RM12,287,240.07 daripada aktiviti haram di lapan institusi kewangan di sini dan di Kuala Lumpur.
Kesalahan didakwa berlaku antara 4 Oktober 2016 dan 30 Disember 2016.
Setiap tuduhan didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau instrument kesalahan pada waktu kesalahan dilakukan, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 21 Mei 2018, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes mereka selepas Teo memohon penangguhan perbicaraan, yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 Mei tahun sama sehingga pelupusan rayuan-rayuan yang difailkan olehnya.
Ram pada sebutan terdahulu untuk mengemaskini mahkamah mengenai rayuan Teo pada 21 Disember 2020, berkata bahawa Mahkamah Rayuan telah mendengar dan melupuskan kesemua enam rayuan mereka dan hanya satu isu masih ditunggu iaitu permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu pelupusan beberapa rayuan dan permohonan kebenaran di Mahkamah Persekutuan.
Menurut Ram, mereka pada 28 Januari tahun ini memfailkan notis pemberhentian rayuan dan permohonan lain ke Mahkamah Persekutuan, yang sepatutnya mendengar rayuan serta permohonan pada 16 Februari, tetapi telah pun dikosongkan selepas notis tersebut difailkan.
Pendakwaan setakat ini telah memanggil lima saksi dalam perbicaraan.
Pada 29 Disember 2016, Awang Mohd Tahir, 58, dan Fauziah, 55, berserta Lim, 66, mengaku tidak bersalah kepada 37 tuduhan pengubahan wang haram, membabitkan RM61.57 juta.
Mereka dibicara bersama dengan Teo.
Awang Mohd Tahir dan Fauziah tidak hadir, sementara Lim hadir melalui Zoom.
Bersama dengan Ram adalah peguam Timothy Daut, Kimberly Ye dan Chen Wen Jye.
Turut sama dengan Tan adalah peguam Baldev Singh dan Karpaljit Singh, yang hadir melalui Zoom, serta Zahir Shah.