RANAU: Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MoSAR) sekali lagi dipanggil untuk membantu dalam satu insiden membabitkan pendaki gunung yang menghadapi masalah ketika mendaki Gunung Kinabalu pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, kes kali ini membabitkan wanita tempatan yang mengalami kesukaran bernafas atau Acute Mountain Sickness (AMS) di kilometer 6.5 Kinabalu Trail.
“Kami menerima maklumat daripada Pengurus Restoran Laban Rata Gunung Kinabalu memaklumkan seorang pendaki wanita diperhatikan mengalami sesak nafas dan pening kira-kira jam 11.45 pagi.
“Satu pasukan MoSAR terdiri daripada enam anggota diketuai PgB Sahidi Mahili bersama dua Renjer Taman-Taman Sabah dan seorang malim gunung bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan kami menenangkan mangsa.
“Selepas itu, kami membantu membawa mangsa turun dari kilometer 6.4 ke Panar Laban. Seorang doktor di lokasi turut memberikan bantuan perubatan kepada mangsa sebelum dia ditempatkan di bilik rawatan untuk pemantauan dan tindakan selanjutnya,” katanya, menambah operasi tamat pada pukul 1.33 tengah hari.
Ridwan berkata, wanita itu menjadi mangsa kelima dalam Februari, dan yang ke-13 setakat ini untuk tahun ini sahaja, yang perlu diberi bantuan oleh MoSAR selepas berdepan pelbagai jenis komplikasi ketika mendaki atau melakukan aktiviti di Gunung Kinabalu.
Sementara itu, beliau menambah bahawa keadaan cuaca semasa menjadikan laluan ke Gunung Kinabalu yang memang sedia mencabar, lebih sukar lagi, dan bakal pendaki perlu mempertimbangkan perkara itu dengan teliti. Ridwan menasihatkan bakal pendaki untuk membuat penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu.
Beliau berkata, perlu ada persediaan mental dan fizikal, dan hanya bawa barang yang sesuai dan perlu sahaja.