Kota Kinabalu: Lima orang didenda sejumlah RM6,700 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana terlibat dalam sesi perjudian.
Asmawati Abtoh, 31, Anastasia Clara, 22, Nur Aslisah Tung, 24, Wellfred Fadiles, 21, dan Nancye Yuesri, 25, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas tuduhan melakukan kesalahan itu antara 16 Jun 2021 dan 24 Oktober tahun sama.
Asmawati diperintah membayar denda RM1,500 atau tiga bulan penjara kerana memiliki dua tiket loteri secara haram di tangga sebuah kedai di Lorong Merdeka, Kg Air jam 1 tengah hari pada 16 Jun.
Anastasia didenda RM1,400 atau tiga bulan penjara kerana mempunyai satu slip loteri haram pukul 4.40 petang pada 24 Oktober, manakala Aslisah didenda RM1,300 atau tiga bulan penjara untuk dua slip loteri tanpa lesen di tempat dan waktu sama.
Wellfred diperintahkan membayar denda RM1,300 atau tiga bulan penjara kerana memiliki lima tiket loteri secara haram pukul 4.40 petang pada 27 Jun dekat sebuah kedai di pekan Donggongon, Penampang manakala Nancye didenda RM1,200 atau tiga bulan penjara kerana mempunyai tujuh slip loteri secara haram jam 3.55 petang pada 24 Oktober di belakang sebuah restoran juga di pekan Donggongon.
Mahkamah diberitahu oleh pendakwaan bahawa kelima-lima mereka ditahan polis semasa serbuan ekoran maklumat tentang aktiviti perjudian di kawasan masing-masing.
Polis turut merampas peralatan perjudian termasuk wang tunai daripada lima individu terbabit, kata pendakwaan.
Lima orang itu, masing-masing, didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka memohon denda lebih rendah manakala pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan.
Mahkamah memerintahkan wang yang dirampas itu dilucuthakkan sebagai hasil kerajaan.
Inspektor Kelvan Elson Maik melakukan pendakwaan.