TAWAU: Pengarah sebuah kolej di Semporna mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Tawau pada Khamis, membabitkan pembelian tiket penerbangan untuk anak dan isterinya berjumlah RM6,797.50.
Saifulkahar Shariff, 54, yang merupakan Pengarah Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Semporna didakwa melakukan kesemua 12 kesalahan itu di Pejabat KPTM Semporna di antara November 2017 sehingga 7 Ogos 2018.
Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi isterinya, 35, dan anak lelakinya berusia lima tahun dengan meluluskan Borang Permohonan Perolehan (Bekalan/Perkhidmatan/Kerja) (PTD/01/03) bagi pembelian tiket kapal terbang bagi kedua-dua mereka dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Pembelian dilakukan daripada Today Travel Services (Semporna) Sdn Bhd yang sebenarnya kedua-dua mereka tidak layak untuk kemudahan tersebut.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menawarkan wang jaminan RM7,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan syarat agar tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM sebulan sekali, pasport diserah kepada mahkamah dan juga larangan mendekati saksi kes.
Mahkamah menetapkan 8 April sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee tampil mendakwa, manakala tertuduh diwakili peguam Sitti Nurul Ain Sahidah Pitting.