TAWAU: Seorang penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan, membabitkan sebut harga kenderaan jabatan bernilai RM15,000.
Mohaidy Tabin, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Tawau pada 18 Oktober 2018 iaitu sebagai Ketua Cawangan dan Pengerusi Jawatankuasa Sebut Harga di Pejabat tersebut.
Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan bertindak memilih isterinya, Faizah Noor Fauzi, 40, sebagai Penyebut Harga yang berjaya dalam Sebut Harga kenderaan Toyota Fortuner 2.7V No. Pendaftaran WSA 4879 di jabatan itu yang bernilai RM15,000.
Sementara itu, Awang Kerisnada menawarkan wang jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan ke atas tertuduh serta menetapkan syarat agar tertuduh melapor diri ke Pejabat SPRM sebulan sekali, selain pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh juga dilarang mendekati saksi.
Mahkamah juga menetapkan 8 April sebagai tarik sebutan untuk pengurusan kes.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.
Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh tampil mendakwa sementara tertuduh diwakili oleh peguam Jhesseny P. Kang.