KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat yang melanda utara Sumatera, Indonesia hari ini dirasai sehingga pantai barat Semenanjung Malaysia menyebabkan ramai petugas dan penghuni di bangunan tinggi diarah mengosongkan bangunan.
Antara negeri dilapor merasai gegaran ialah Pahang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor.
Kejadian pada 9.39 pagi itu menyebabkan rata-rata petugas swasta dan awam serta penghuni di bangunan tinggi di negeri-negeri terlibat yang berasa bangunan beralun atau bergegar, mengambil langkah keluar untuk berkumpul di kawasan lapang, sehingga keadaan benar-benar selamat.
Lebih 30 panggilan kecemasan bangunan susulan gegaran itu diterima oleh pasukan Bomba dan Penyelamat di sekitar Lembah Klang, melibatkan antaranya kawasan Taman Miharja, Menara Glomac, Wisma BSN, Menara AmBank dan Apartment Pantai Indah di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata panggilan kecemasan bangunan diterima pihaknya melibatkan Shah Alam, Cyberjaya, Sepang, Kapar, Banting, Puchong, Kajang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini melaporkan Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada 9.39 pagi tadi diikuti gempa bumi lemah berukuran 4.9 pada skala Richter pada 12.02 tengah hari.
Gempa dengan kedalaman 10 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 87 km barat laut dari Payakumbuh, Indonesia dan 324 km barat daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan. Kedua-dua gempa itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.
MetMalaysia bagaimanapun menasihati orang ramai untuk mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran.