Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 21 tahun didenda RM2,000 atau penjara sebulan kerana memiliki jualan produk perangsang seks yang mengandungi racun berjadual tanpa lesen.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Ellyesther Jonis yang mengaku bersalah kepada tuduhan terhadapnya, Isnin.
Ellyesther didapati memiliki untuk jualan 12 keping Soloco mengandungi Tadalafil yang tersenarai dalam Jadual Pertama Akta Racun 1952, tanpa permit.
Kesalahan itu berlaku pada 24 Mac 2021 pada pukul 12.25 tengah hari di Zynia Cosmetic di Pusat Beli-belah Bataras, Jalan Tuaran Kolombong, Inanam.
Kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun itu boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta sama dan membawa denda sehingga RM3,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Ellyesther meminta hukuman ringan kerana dia merupakan pekerja tunggal di kedai itu dengan gaji RM750 sebulan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Lim Lay Peng dari Jabatan Farmasi, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas sebab produk perangsang seks yang mengandungi racun dan dijual oleh individu yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang perubatan, boleh mengancam kesihatan pengguna.
Lim berkata, ia kerana penggunaan racun berjadual memerlukan penyeliaan pakar perubatan, khususnya produk perangsang seks yang boleh menyebabkan serangan jantung.