Kota Kinabalu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Selasa kerana gagal membawa kad pengenalannya sepanjang masa.
Mohd Razi Haron, 27, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles kerana melakukan kesalahan itu pada 10.05 malam 7 Sept 2021 di kawasan One Borneo Hypermall, Jalan UMS dekat sini.
Inspektor Kelvan Elson Maik, yang menjalankan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa pada hari tersebut, Razi telah ditahan polis kerana disyaki terlibat kes curi dan gagal menunjukkan kad pengenalannya apabila ditanya polis semasa pemeriksaan.
Razi memberitahu polis bahawa dia adalah warganegara Malaysia dan memiliki MyKad, namun mendakwa dokumen itu hilang sejak 2020 dan tidak memohon kad baharu sehingga kini.
Peguam dilantik Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Razi memohon hukuman ringan dan berjalan dari tarikh tangkapnya, sambil menambah Razi telah bercerai dengan seorang anak dan tidak mempunyai sabitan kesalahan terdahulu.
Razi didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintah supaya tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes lain, seorang warga Filipina dipenjara 13 bulan kerana merusuh di Pusat Tahanan Sementara Imigresen di Manggatal, bersama beberapa rakan banduan tahun lalu.
Pulalun Abdul Han, 28, mengaku melakukan kesalahan itu bersama 20 banduan lain di premis berkenaan, di Jalan Kokol Poring-Poring, Manggatal pada jam 6.25 pagi, 10 Sept 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Tatacara Jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
20 warga asing lain masing-masing pada 11 Nov, 24 Nov dan 8 Dis tahun lepas dijatuhi hukuman penjara 13 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah memerintah supaya Pulalun menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman itu.