Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor mahu semua ketua jabatan negeri dan persekutuan memastikan semua projek yang mendapat kelulusan bajet untuk Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilaksanakan segera bagi membolehkan rakyat cepat mendapat manfaatnya.
Beliau menegaskan tiada lagi alasan kelewatan pelaksanaan sesuatu projek disebabkan situasi penularan Covid-19 seperti sebelum ini.
Katanya, kelewatan dalam melaksanakan projek-projek yang telah diluluskan akan merugikan rakyat dan kerajaan, serta menafikan hak rakyat terhadap manfaat yang sepatutnya mereka diterima, selain akan meningkatkan lagi kos pelaksanaan.
"Semua projek hendaklah dilaksanakan segera khususnya projek-projek yang berbentuk 'touch points'", katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah Bil.1/2022 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
"Semua agensi hendaklah cuba untuk ‘facilitate’ semua pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan bukan sebaliknya."