Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 33 tahun, yang cuba menceroboh sebuah rumah di sini tahun lepas dijatuhi hukuman penjara 30 bulan.
Ridzwan Jumari, menukar pengakuannya kepada bersalah di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Tiong Wen Wen, yang duduk selaku majistret, pada Jumaat yang ditetapkan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan untuk kesnya.
Ridzwan mengaku melakukan perbuatan itu dengan cuba membuka pintu rumah berkenaan di Lorong Limau Manis 3, Kg Cenderakasih di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 448 itu dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Tiong memerintahkan Ridzwan menjalani hukuman penjaranya bermula Jumaat.
Dalam kes berasingan, dua orang didenda sejumlah RM2,400 selepas mereka mengaku secara berasingan terlibat dalam kegiatan perjudian.
Saleha Eddie didenda RM1,200 atau sebulan penjara kerana terlibat dalam perjudian atas talian menggunakan telefon bimbit pukul 3.20 petang pada 27 Oktober, 2021 di sebuah unit di Jalan Burung Keleto, Inanam.
Pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hendery Marius juga diperintah membayar denda RM1,200 atau sebulan penjara jika gagal membayarnya kerana memiliki rekod pertaruhan loteri haram pukul 5.30 petang pada 31 Oktober tahun lepas di tangga lot kedai di pekan Tanjung Aru.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Inspektor Navind Kumar Vijayan mengendalikan pendakwaan.