Wed, 10 Jun 2026
Headlines:
Sempadan negara dibuka 1 Apr
Published on: Wednesday, March 09, 2022
Published on: Wed, Mar 09, 2022
By: Bernama
Text Size:
Text:
Sempadan negara dibuka 1 Apr
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Kuala Lumpur: Sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.Beliau berkata langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan pengumuman yang paling dinanti-nantikan rakyat ini akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Advertisement
“Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.
“Dalam masa yang sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan,” katanya.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata mereka hanya perlu memuat turun dan dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi ‘Traveller’ dalam aplikasi MySejahtera.

Ismail Sabri berkata individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tidak perlu menjalani kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag (profesional) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Advertisement
Beliau berkata ini adalah prosedur wajib dipatuhi rakyat Malaysia dan pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara dan kebanyakan negara di seluruh dunia.

Menurutnya bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, perincian mengenai prosedur berkenaan akan diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini (Rabu).

Advertisement
Ismail Sabri berkata senarai prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci bagi prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut juga akan dikeluarkan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

Mengenai keputusan pembukaan semula sempadan, beliau berkata ia dibuat bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain serta memberi keselesaan kepada pengembara dan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Bagi negara yang masih menutup pintu sempadan, Ismail Sabri berkata rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kaedah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara yang terbabit.

“Buat masa ini VTL telah dimanfaatkan dengan Singapura sejak tahun lalu. Dalam masa terdekat pula, seperti saya umumkan baru-baru ini, VTL turut bakal dimanfaatkan untuk melaksanakan pergerakan keluar masuk antara Malaysia-Thailand, Malaysia-Brunei dan Malaysia-Indonesia.

“Diharapkan rakyat yang ingin memanfaatkan pembukaan sempadan negara dapat melaksanakannya mengikut garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan diri, orang sekeliling serta negara secara keseluruhannya,” katanya.

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan Covid-19 dalam negara. Berhubung keputusan ke Fasa Peralihan Endemik, beliau berkata ia dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

“Penting untuk saya maklumkan, Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ ini merupakan exit strategy untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan Covid-19,” katanya.

Fasa peralihan itu, katanya merupakan fasa sementara sebelum negara beralih ke Fasa Endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata bermula 1 April beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan seperti berikut:

i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis. “Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Namun katanya, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu dan pengunjung.

iv. Aktiviti solat Jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri dan untuk Rumah Ibadat Selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor).

v. Keperluan vaksinasi: Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Beliau berkata jika sebelum ini terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai, namun dengan pengumuman terbaharu ini, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh.

“Tiada lagi had kapasiti 50 peratus, namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif kerajaan dalam memerangi Covid-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’. Saya juga berterima kasih kepada semua Menteri Kuartet Covid-19 yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha keras mereka demi memastikan usaha negara untuk ‘Reopening Safely’ (pembukaan semula dengan selamat),” katanya. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here