Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 48 tahun meminta dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan mengedar dadah.
Yii Hock Kiong mengaku tidak bersalah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell atas pertuduhan melakukan perbuatan itu pada 22 Februari 2021.
Atas pertuduhan pertama, Yii didakwa mengedar 69.43g syabu pukul 9.25 pagi di tempat letak kereta di tingkat bawah Lido Four Seasons Residence, di sini.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Yi didakwa mengedar 2,280.06g Ketamin dan 943.39g syabu, masing-masing, pukul 9.51 pagi di sebuah unit di blok C, tingkat 12 kondominium sama, Jalan Lintas, Kepayan.
Setiap pertuduhan termaktub di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan dengan minimum 15 kali sebatan.
Mahkamah menetapkan 29 Mei untuk sebutan.
Yii diperintah untuk direman lanjut kerana pertuduhan terhadapnya tidak memperuntukkan ikat jamin.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran melakukan pendakwaan.
Yii diwakili peguam PJ Perira. – JAM