TAWAU: Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) cawangan Tawau merayu sumbangan orang ramai bagi memastikan pusat perlindungan haiwannya di Jalan Kau Sing di sini, yang menempatkan lebih 600 ekor anjing dan kucing, dapat terus beroperasi.
Presidennya, Kapitan Leong Nyuk Yin berkata rayuan itu dibuat berikutan kekurangan dana semasa mereka akibat pandemik Covid-19 serta peningkatan bilangan haiwan di pusat itu.
“Pada masa ini, kami perlu membelanjakan lebih RM500 setiap hari untuk makanan mereka (anjing dan kucing), tidak termasuk bayaran sewa premis, bil utiliti, gaji pekerja dan kos perubatan...pembiayaan kami banyak berkurang dan kami juga tidak dapat mengutip derma seperti tahun-tahun sebelumnya melalui bazar makanan amal.
“Kami tidak dapat mengadakan sebarang program kutipan dana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac 2020. Wang yang kami terima daripada program amal sebelum ini juga semakin susut, sehingga tidak cukup untuk menampung kos operasi pusat perlindungan ini,” katanya.
Menurutnya, mereka memerlukan dua pek makanan anjing (setiap pek berharga RM72) serta 180kg kepala ayam (RM1.75 sekilogram) dan 150kg beras (RM24.50 untuk 10kg) setiap hari.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan juga menghantar anjing dan kucing liar kepada mereka selepas mereka menangkapnya di tempat lain. Oleh itu, Leong menggesa mereka yang kehilangan haiwan peliharaan mereka (anjing atau kucing) terus ke tapak SPCA untuk mencarinya.
Selain beras, makanan dalam tin, ubat nyamuk dan bahan makanan lain, orang ramai juga boleh menyumbang dana kepada persatuan melalui akaunnya –Alliance Bank (100570010088248) (Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan Tawau Sabah) atau melalui Touch N Go atau Boost.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh melayari Facebook mereka (SPCA Tawau). SPCA Tawau ditubuhkan pada 2014.