TAWAU: Dianggarkan lebih 50 rumah setinggan atas air di Kg Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, musnah dalam kebakaran sekitar jam 4.40 petang tadi.
Sehingga kini, pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau sedang bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran yang masih marak.
Ketua bomba Tawau, Julius John Stephen Jr, berkata sepasukan 23 pegawai dan anggota serta dua jentera, satu tangki air dan utiliti bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 4.45 petang menerusi MERS999.
Menurutnya, pasukan bantuan daripada balai bomba Semporna turut dikerah ke lokasi untuk membantu dan kini dalam perjalanan.
Julius berkata, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun, maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke semasa.