Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberi jaminan akan terus komited dengan pelbagai usaha yang telah dan akan dilaksanakan bagi menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar (gambar) menjelaskan bahawa Indeks Purata Tempoh Gangguan Bekalan Elektrik (SAIDI) bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2021 adalah 332 minit setahun bagi setiap pelanggan.
“Berdasarkan kepada rekod, 35 peratus daripada jumlah gangguan pada tahap voltan sederhana 11kV adalah disebabkan oleh dahan pokok menyentuh konduktor elektrik atau pokok menghempap talian, 16 peratus disebabkan oleh pencerobohan masuk oleh haiwan dan 11 peratus berpunca daripada cuaca buruk khususnya semasa ribut, hujan atau kilat berlaku,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Mohd Yaakob turut menegaskan bahawa penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyumbang 25 peratus daripada jumlah gangguan juga dikenalpasti sebagai punca utama kepada gangguan bekalan elektrik sistem voltan rendah dan boleh mengundang masalah litar pintas, termasuk kes renjatan elektrik.
“Setakat 2021, hampir 49 peratus rangkaian talian elektrik voltan sederhana 11kV ke pencawang-pencawang pembahagian di seluruh Sabah masih menggunakan konduktor elektrik dari jenis tidak bertebat.
“Oleh kerana keadaan fizikal konduktor tersebut yang terdedah (tidak bertebat), ia sangat sensitif apabila bersentuhan dengan dahan pokok atau pokok yang tumbang ke atas talian. Keadaan ini lebih teruk ketika cuaca buruk.
“Di samping itu, terdapat juga kes gangguan bekalan apabila haiwan seperti tupai, tikus, monyet dan ular yang menceroboh masuk ke dalam zon voltan sederhana ini bersentuhan dengan konduktor dan besi pada tiang secara serentak, yang akan menyebabkan litar pintas,” katanya.
Justeru, sebagai penyelesaian jangka panjang, SESB kini sedang giat menaiktaraf talian konduktor tidak bertebat ini kepada jenis bertebat dan inisiatif ini menelan kos jutaan ringgit serta memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat.
“Selain itu, sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, SESB telah menambahbaik pengurusan rentis dengan memperkenalkan konsep penjagaan konsesi yang memberi tumpuan kepada kawasan yang sering terkesan dengan gangguan bekalan seperti di Tuaran, Keningau, Kota Marudu dan Ranau.
“SESB juga sedang menilai konsep lain seperti penubuhan pasukan bertindak khas untuk menyelesaikan isu rentis di kawasan yang mempunyai cabaran unik dan tersendiri.”
Sehubungan itu, Mohd Yaakob berkata SESB dengan sokongan Pasukan Petugas Khas melibatkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga telah memperuntukkan RM128 juta sehingga 2025 khusus untuk penggantian konduktor tidak bertebat, dan RM170 juta sehingga 2025 untuk pengurusan rentis, pemasangan peralatan pencegahan gangguan binatang dan peralatan pelindung kilat.
“Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, SESB menyasarkan pengurangan antara 30-50 peratus menjelang 2025 bagi gangguan yang melibatkan konduktor tidak bertebat ini.”