Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 30 tahun didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada kakaknya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Firdaus Arbi selepas tuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus pada Jumaat.
Apabila tuduhan dibacakan, Firdaus berkata dia memahaminya. Laporan perubatan juga belum sedia.
Firdaus dituduh menyebabkan kecederaan parah kepada Jumat Arbi, 51, dengan menggunakan sebilah pisau pada pukul 6.30 petang 8 Mac tahun ini di sebuah rumah di Kg Pasir Putih, Putatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan boleh didenda dan disebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 20 April tahun ini untuk sebutan dan memerintah supaya Firdaus direman lanjut sementara menunggu tarikh itu.
Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin hadir untuk pendakwaan sementara Firdaus tidak diwakili.
Sementara itu, seorang lelaki berumur 36 tahun dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan rotan kerana mengulangi kesalahan mengambil dadah.
Sabri Rasyid mengaku kepada tuduhan terhadapnya.
Dia didapati mengambil dadah pada pukul 12.07 pagi 9 Februari tahun ini selepas kencingnya diuji positif untuk dadah di balai polis Penampang.
Sabri mempunyai dua rekod sabitan lampau untuk kesalahan sama.
Selepas hukuman penjaranya tamat, Sabri diperintah supaya diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.