Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 35 tahun akan mengetahui nasibnya pada 29 April tahun ini bagi tuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menetapkan tarikh itu bagi Azwan Aliasan.
Mahkamah juga menetapkan 8 April untuk hujahan lisan bagi kes itu.
Azwan dituduh melakukan kesalahan itu dengan memeluk, dan mencium pipi sambil menanggalkan pakaian kanak-kanak itu pada pukul 10.55 pagi 6 Julai 2020 di tepi jalan di Penampang.
Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan telah memanggil enam saksi semasa perbicaraan.
Azwan diperintah untuk membela diri pada 23 Disember 2021 selepas mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Dalam kes lain, mahkamah menetapkan 22 April untuk e-review bagi menetapkan tarikh keputusan satu kes membabitkan seorang lelaki yang didakwa memperdagangkan tiga wanita dari Thailand untuk tujuan ekploitasi seks.
Azreena menetapkan tarikh itu bagi Chin Lol Vui, 32, apabila pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi.
Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum tarikh itu untuk hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak, dan pada atau sebelum 22 April untuk jawapan, jika ada.
Chin dituduh memperdagangkan tiga wanita berumur 30an, pada pukul 2.30 petang 4 November 2017 di sebuah hotel di Lorong Kemajuan, di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua subahat yang masih bebas.
Kesalahan di bawah Seksyen 12/34 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Peguam Edward Paul mewakili Chin.
Dalam kes lain, lima orang masing-masing dipenjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Bagus Mohd Jong, Al Aziz Kapuning, Abil Rajik, Edwin Ajaral dan Romi Aukasah, mengaku bersalah memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen pengenalan.
Mereka ditangkap di Bandaraya dan kawasan Papar antara 26 Januari dan 2 Februari tahun ini selepas gagal mengemukakan dokumen mereka kepada polis.
Mahkamah memerintah supaya kesemua pendatang tanpa izin itu menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas tamat hukuman tersebut untuk pengusiran.