Kota Kinabalu: Seorang pembantu rumah berusia 26 tahun yang menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun kerana mendakwa menghadapi masalah dengan suaminya, dipenjara 11 bulan.
Maria Fatima Manuk mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan kepadanya oleh pihak pendakwaan.
Maria telah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak itu pada pukul 1 tengah hari 26 Nov 2020 di sebuah unit di Sutera Harbour, di sini.
Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Maria diperintah supaya menjalani hukuman penjara dari tarikh dia direman pada 27 April 2021.
Mahkamah telah melepas dan membebaskan Maria daripada pertuduhan asal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, untuk kesalahan mendera.
Dalam rayuan melalui peguam Angela Ubu, Maria meminta hukuman ringan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Faezah Jaffry menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.
Mahkamah mendengar bahawa pada hari tersebut ibu kanak-kanak itu melihat Maria telah menghempaskan dan memukul anak perempuannya.
Si ibu kemudian bertanya kenapa Maria berbuat demikian kepada anaknya dan Maria memberitahu bahawa dia mempunyai masalah dengan suaminya (Maria).
Ibu mangsa tidak dapat menerima sebab Maria itu yang menggunakan masalah peribadi sebagai alasan untuk menyakiti anaknya.
Ibu itu kemudiannya membuat laporan polis terhadap Maria yang kemudiannya ditahan pada 15 Dis 2020 jam 5 petang.