KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Sabah FC Mohd Rizal Mohd Ghazali boleh menarik nafas lega apabila terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan disiplin, susulan kegagalannya melapor diri ke kem latihan pusat skuad kebangsaan baru-baru ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Setiausaha Agung badan induk itu Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata Mohd Rizal hanya diberi amaran keras, sebagai peringatan supaya tidak mengulangi tindakannya itu.
“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan, seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, pengendali skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon memaklumkan Mohd Rizal menolak pelawaan menyertai kem latihan pusat pasukan negara, sebagai pengganti kepada seorang lagi pemain pertahanan Muhammad Syahmi Safari menjelang saingan Siri Tiga-Negara FAS di Singapura, bulan ini.
Susulan itu, surat amaran dikeluarkan FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan, jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada FAM.
Dalam surat tunjuk sebab berkenaan, pemain berusia 29 tahun itu memberitahu beliau mempunyai urusan keluarga.
Mohd Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata Mohd Rizal mungkin berdepan tindakan penggantungan bermain dalam liga domestik, selain denda RM25,000 sebagai hukuman terhadap pemain yang menolak panggilan skuad kebangsaan pada tarikh Kalendar Perlawanan Antarabangsa Fifa.