Kota Kinabalu: Seorang nelayan berumur 48 tahun dipenjara enam bulan kerana memiliki 323 beg plastik minyak masak tanpa permit.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamad Adilon yang mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.
Mohamad didapati memiliki barang kawalan itu tanpa permit pada pukul 8 pagi 17 Mac tahun ini di dalam sebuah bot enjin sangkut di Pulau Lingkutan di Pulau Bangi, Kudat.
Kesalahan di bawah Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 itu boleh didenda sehingga RM1 juta, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Mohamad menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 17 Mac tahun ini dan bot serta rampasan peralatan lain dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Semasa rayuan, Mohamad meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai lima anak.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan barang rampasan termasuk bot dan minyak masak dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 40 tahun dipenjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan kerana menyamun seorang wanita.
Nazri Matanang dijatuhi hukuman itu selepas dia mengekalkan pengakuan bersalahnya apabila kesnya dikemukakan untuk fakta dan hukuman.
Dia telah menyamun Farah Amirah Maksud, 28, dengan meragut dompetnya yang mengandungi MyKad, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM350.
Kejadian itu berlaku pada pukul 9.20 pagi 25 Mei 2021 di hadapan cawangan 7-Eleven di Alamesra.
Nazri diperintah supaya menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mei 2021.