Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina berumur 56 tahun, yang melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, tiga tahun lalu, dipenjara 25 tahun dan dikenakan 10 sebatan.
Mancho Cross mengaku bersalah atas dua pertuduhan kesalahan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim pada Jumaat, yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan pada akhir peringkat pendakwaan.
Mancho, yang tidak diwakili, memberitahu mahkamah bahawa dia ingin mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan dikenakan lima sebatan bagi pertuduhan pertama memasukkan jarinya ke dalam kemaluan kanak-kanak itu pada pukul 3 petang 24 Julai 2019, di sebuah bilik kuarters kilang simen di Keningau.
Bagi pertuduhan kedua, Mancho dipenjara 10 tahun dan dikenakan lima sebatan kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu dengan mencium bibir dan meraba kemaluannya di tempat dan masa yang sama.
Marlina memerintahkan Mancho menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama bermula dari tarikh tangkap pada 25 Julai 2019 dan memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan kedua berjalan berturut-turut dengan hukuman penjara bagi kesalahan pertama.
Mancho juga diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen selepas itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Eugenie Meredith Gilbert ketika membentangkan fakta kes berkata, sebelum kejadian bapa mangsa keluar bekerja dan meninggalkan mangsa serta adiknya bersendirian di rumah.
Mancho, yang bekerja sebagai ‘runner’ loteri sambilan pergi ke kuarters itu seperti biasa untuk mendapatkan pelanggan dan melihat mangsa sedang tidur di atas sofa.
Menyedari tiada orang lain di sekeliling, Mancho mengambil kesempatan mendekati mangsa, mengangkatnya ke sebuah bilik dan mencium bibir serta meraba kemaluannya, yang menyebabkan mangsa terjaga.
Mangsa cuba melarikan diri tetapi gagal kerana Macho telah memeluknya dengan erat dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluannya, kata pihak pendakwaan, menambah jeritan mangsa didengar oleh adiknya yang kemudian terus menolak pintu bilik itu, menyebabkan Mancho beredar dari situ dengan berpura-pura menulis sesuatu pada surat.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya, yang pulang ke rumah pada jam 3.30 petang hari yang sama.
Mancho kemudiannya ditangkap oleh polis pada hari yang sama selepas bapa mangsa membuat laporan, mahkamah diberitahu.
Mancho meminta hukuman penjara ringan dari tarikh dia ditangkap kerana dia sudah tua dan belum berkahwin.
Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada Mancho dan kepada orang awam kerana ia merupakan kesalahan berat yang boleh mengancam masyarakat.
DPP Eugenie turut memberitahu mahkamah bahawa kes telah pun melalui peringkat pendakwaan sebelum tertuduh mengaku bersalah dan tujuh saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan.
Pertuduhan pertama dibuat di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima dan 30 tahun serta sebatan, sementara pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.