Kota Kinabalu: Sabah meneruskan trend penurunannya, dengan 140 kes baharu Covid-19 pada Isnin, berkurangan 27 kes dari 167 kes Ahad lepas.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) dalam satu kenyataan, di sini, Isnin berkata kedudukan keseluruhan di hampir semua daerah semakin baik walaupun terdapat turun naik jumlah kes baharu setiap hari.
Pada Isnin, hanya empat daerah mencatatkan kes dua angka baharu iaitu Kota Kinabalu (37), Tuaran (21), Tenom (13) dan Penampang (12).
Sebanyak 17 daerah merekodkan kes satu digit baharu di mana hanya 16 daerah merekodkan kes baharu antara satu hingga lima kes sahaja.
Enam daerah, Kinabatangan, Nabawan, Keningau, Tongod, Kalabakan dan Putatan tidak mencatatkan sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.
Masidi berkata bagaimanapun peratusan jangkitan sporadik meningkat semula pada Isnin kepada 55 peratus selepas sekitar 43 peratus Ahad lepas.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, peratusan jangkitan sporadik yang tinggi bermakna risiko jangkitan juga akan meningkat terutama di tempat yang sesak.
“Tempat awam yang perlu kita berhati-hati ialah bazar Ramadan dan pusat beli-belah.
“Ramai pengunjung akan berpusu-pusu ke tempat sesak ini untuk membeli-belah,” katanya sambil mengingatkan semua orang untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard.
Sementara itu, sebanyak 135 kes atau 96.43 peratus daripada 140 kes pada Isnin adalah dalam Kategori 1 dan 2, empat kes dalam Kategori 4 dan satu) kes dalam Kategori 5. Tiada kes baharu direkodkan dalam Kategori 3.