Kota Kinabalu: Kes harian baharu Covid-19 di Sabah meningkat semula kepada tiga angka dengan 150 kes pada Selasa selepas paras terendah sepanjang masa iaitu 65 pada hari sebelumnya, kata Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata beberapa daerah mencatatkan peningkatan kes yang ketara iaitu Beaufort (+25), Sandakan (+14), Kota Kinabalu (+12) dan Penampang (+9).
“Sebanyak 17 daerah mencatatkan peningkatan kes berbanding lapan yang mencatatkan penurunan. Hanya empat daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu, berbanding 10 hari sebelumnya,” kata Masidi dalam satu kenyataan, Selasa.
Beliau berkata Kota Kinabalu mendahului senarai dengan 28 kes, diikuti Beaufort (25), Sandakan (18), Penampang (15), Telupid (7), Papar (7) dan Tawau (6).
Beliau menambah bahawa 62.67 peratus kes adalah jangkitan sporadik, manakala 20.67 peratus adalah kontak rapat.
Satu kematian direkodkan di Kunak manakala tiada kluster baharu dikenal pasti.
Masidi berkata majoriti kes adalah ringan, dengan 145 daripada 150 kes adalah kategori satu dan dua jangkitan, manakala satu kes dalam kategori tiga dan dua masing-masing dalam kategori empat dan lima.
Mengenai program imunisasi Sabah, seramai 3,627 individu mengambil vaksin mereka pada 11 Apr, manakala 1,430 adalah dewasa, 156 adalah remaja dan 2,041 adalah kanak-kanak.