Kota Kinabalu: Lai Wen Li dari Sabah mencapai satu lagi kejayaan dalam karier skuasynya selepas baru-baru ini dinamakan dalam Pasukan Pertama All American oleh Persatuan Skuasy Kolej (CSA) dan juga dalam Pasukan All-Ivy League, hanya setahun selepas ketibaannya di Amerika Syarikat untuk belajar di Universiti Cornell.
Ivy League merupakan persidangan olahraga bagi kolej-kolej Amerika terdiri daripada lapan universiti penyelidikan swasta yang berprestij di Timur Laut Amerika Syarikat iaitu Universiti Columbia, Universiti Cornell, Kolej Dartmouth, Universiti Brown, Universiti Pennsylvania, Universiti Princeton, Universiti Havard dan Universiti Yale.
Gadis dari Kota Kinabalu itu yang berada di ranking ke-97 dunia, menikmati musim kolej pertama yang berjaya dengan mata 8-4 daripada kedudukan nombor dua dalam barisan Cornell dan rekod 4-2 dalam perlawanan Ivy League dan juga mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Individu CSA.
Pemain berumur 22 tahun itu, ketika dihubungi pada Selasa gembira dengan pengiktirafan itu dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha jurulatihnya dan sokongan daripada rakan sepasukan.
“Saya tentunya sangat gembira untuk dimasukkan dalam Pasukan Pertama All Ivy League dan Pasukan Pertama All American. Ini semua terima kasih kepada kedua-dua jurulatih saya David Palmer dan Mark Burke kerana sentiasa membimbing dan mendorong saya.
“Juga saya benar-benar berterima kasih mempunyak keluarga skuasy Cornell, yang sentiasa menyokong dan berada di sana untuk saya,” katanya.
Tambahnya persekitaran baharu itu membantu meningkatkan permainannya.
“Saya benar-benar sukakan latihan di sini di mana kami mempunyai sesi berkumpulan pada petang dan ia adalah pilihan untuk berlatih pada pagi.
“Kadang-kadang, bergantung kepada jadual saya, saya akan menghadiri sesi pagi di mana saya akan berlatih dengan jurulatih dan rakan sepasukan saya.
“Persekitaran latihan di sini adalah berbeza dan intensiti adalah baik. Kami semua berlatih bersama dan mendorong antara satu sama lain, yang saya benar-benar suka.
“Ia tentunya amat mencabar untuk menguruskan skuasy dan pelajaran tetapi pengurusan masa adalah sangat penting di sini. Juga dengan bantuan rakan sepasukan saya, ia sangat membantu dan saya gembira saya dapat menyesuaikan diri dengan baik.”