SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan mengesan dan menahan tujuh bot laju yang dikendalikan tujuh lelaki berusia 29 hingga 70 tahun dipercayai warga Filipina ketika cuba memasuki perairan negara di kawasan laut Inner Bouy sehingga ke kawasan laut Nunuyan, lewat Rabu lepas.
Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Sandakan, DSP Rusdin Banin berkata, sebelum itu, Polis Marin Sandakan mengesan bot mencurigakan dari perairan negara jiran yang telah memasuki perairan negara ini sebelum berjaya dipintas.
Katanya, pemeriksaan mendapati Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI) itu mendakwa berasal dari Filipina.
“Bot-bot itu kemudian diiringi keluar dari perairan Malaysia dan diberi amaran supaya tidak kembali bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
“Mereka juga diberi amaran supaya tidak terlibat dalam aktiviti menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.
Menurut Rusdin, PPM Wilayah 4 Sabah menggalakkan masyarakat di kawasan pesisir pantai dan maritim melaporkan sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0139391197 atau terus ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.